Hi! You're Online Now

6 Tips Mudah Mengajar Anak Berjimat

Peningkatan kos sara hidup sekarang merupakan satu isu yang tidak habis-habis diperkatakan oleh semua orang. Dan kedengaran banyak tips untuk berjimat cermat dan mencari pendapatan sampingan. Selain daripada kita sahaja yang membanting tulang dan mengikat perut, elok juga kita mengajar anak kita untuk berjimat agar satu keluarga selamat dari segi kewangan. Di sini kami sediakan 6 tips mudah mengajar anak berjimat.

1. Beri Wang Belanja Secukupnya

Jangan manjakan mereka dengan memberi duit belanja yang terlalu banyak. Bukan nak suruh kedekut, tetapi bagi wang belanja secukupnya sahaja. Sekurang-kurangnya ini dapat mengajar mereka bahawa bukan mudah untuk mendapatkan duit. Jadi mereka terpaksa berjimat dengan duit yang ada. Dan kalau mereka nak duit lebih, boleh minta mereka melakukan kerja-kerja rumah seperti membasuh pinggan, melipat kain baju, tolong basuh kereta dan sebagainya.

2. Beli Barang Guna Duit Sendiri

Zaman kanak-kanak sekarang berbeza dengan kanak-kanak zaman dahulu. Sekarang mereka lebih terdedah dengan permainan video serta gajet yang mahal-mahal. Jika anda mampu sekalipun, ajarkan mereka menyimpan untuk membeli barangan yang dihajati. Ianya berkait dengan #1 di atas, iaitu mereka perlu menyimpan duit sebelum boleh membeli sesuatu yang mereka hajati. Cara ini akan membuatkan mereka lebih menghargai duit serta barangan tersebut kerana mereka telah bersusah-payah menyimpan.

3. Buka Akaun Simpanan

Sebaiknya buka satu akaun simpan untuk anak anda sejak dari mereka lahir lagi. Kemudian tunjukkan baki akaun mereka setiap kali anda masukkan duit simpanan mereka itu ke dalam akaun tersebut. Bila melihat baki akaun yang semakin bertambah itu, pastinya mereka akan lebih bersemangat untuk menyimpan. Ianya terbukti berkesan semasa menyambut Hari Raya. Dah kumpul duit raya banyak-banyak tu, tunjukkan mereka berapa baki simpanan, pasti mereka berasa teruja.

4. Ajar Menabung

Yang ini paling penting. Setiap anak perlu dididik dari awal lagi untuk menabung. Untuk permulaan, anda mungkin boleh memberikan mereka tabung comel untuk mereka masukkan duit syiling. Setiap kali mereka pulang ke sekolah, tanyakan berapa balance duit yang tinggal dan galakkan mereka menyimpan duit mereka ke dalam tabung tersebut. Apabila duit dalam tabung dah penuh, masukkan ke dalam akaun simpanan mereka dan biarkannya berkembang.

5. Tingkah Laku Ibu Bapa

Ramai yang selalu terlupa yang anak-anak kecil ini sering kali mengikut tingkah laku orang dewasa. Jadi sebagai ibu bapa yang lebih rapat serta banyak menghabiskan masa dengan mereka, anda juga haruslah menjadi contoh yang lebih baik. Anda sendiri tak boleh bersikap boros. Biasakan bawa anak-anak membeli-belah bersama. Ajarkan mereka membandingkan harga barangan, beli hanya yang perlu dan sebagainya. Utamakan barangan keperluan daripada melayan nafsu kehendak. Jadi mereka akan lebih bijak berbelanja selepas ini.

6. Ajar Melalui Permainan

Daripada membiarkan mereka leka dengan gajet serta permainan video, apa kata tarik minat mereka dengan permainan meransang minda seperti Saidina, Monopoly dan sebagainya. Permainan ini bukan sahaja baik untuk merangsang minda mereka, tetapi ianya dapat mengajar mereka tentang ilmu kewangan pada usia yang muda. Cara ini juga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Kanak-kanak zaman sekarang terdedah kepada barangan-barangan mewah dan sering dimanjakan. Amatlah penting untuk kita ajarkan kepada mereka tentang sikap berjimat-cermat sejak dari kecil lagi. Ini untuk masa depan mereka juga, yang dikatakan akan semakin mencabar. Dengan adanya 6 tips berjimat mudah mengajar anak berjimat di atas, diharapkan mereka akan celik tentang betapa pentingnya ilmu kewangan.