Hi! You're Online Now

KETAHUI TENTANG SISTEM PEMBENTUNGAN DI MALAYSIA



Anda tahu apa itu pembetungan? Rata-rata, kita pasti menggambarkan proses rawatan sisa kumbahan apabila ditanya tentang sistem pembetungan. Namun apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan 'sistem pembetungan' di Malaysia?

   Sistem pembetungan ialah proses untuk mengumpul, menghantar, merawat air sisa kumbahan, dan menyelenggara sistem pembetungan dan tangki septik. Di Malaysia, perkhidmatan pembetungan terbahagi kepada dua jenis, iaitu:

(a) sistem pembetungan bersambung terus ke loji rawatan kumbahan awam

(b) tangki septik individu

Sistem pembetungan yang bersambung ke loji rawatan kumbahan awam merupakan perkhidmatan yang menyambungkan saluran paip pembetungan di rumah kita, ke loji rawatan kumbahan awam. Tahukah anda, Indah Water Konsortium (IWK) diberi tanggungjawab untuk menjalankan operasi dan penyelenggaraan loji rawatan kumbahan awam.

    IWK bertanggungjawab untuk melakukan kerja-kerja pembaikan, jika terdapat masalah pada saluran paip pembetungan awam, seperti tersumbat atau rosak tanpa mengenakan kos terhadap pengguna. Walau bagaimanapun, pemilik premis perlu bertanggungjawab untuk membaiki kerosakan atau tersumbat, jika masalah berlaku pada saluran paip pembetungan persendirian.

    Bagi tangki septik individu pula, ia merupakan perkhidmatan pembetungan yang teringkas. Sisa kumbahan akan dialirkan ke tangki septik dan tidak menjalani rawatan sepenuhnya, tetapi hanya akan terenap di dasar tangki septik. Justeru, tangki septik perlu dilakukan pengenyah enap cemar, sekurang-kurangnya dua tahun sekali, bagi memastikan tangki septik individu itu dapat berfungsi dengan cekap.

Kenapa Sistem Pembetungan Penting?
----------------------------------------------------------------------------

Sesetengah tempat di Malaysia tidak mempunyai sistem pembetungan. Oleh itu, sisa pembetung masuk atau meresap ke dalam saliran kita. Sistem pembetung yang tidak dirawat akan menyebarkan organisma yang 'patogenik' atau menyebabkan penyakit serta mencemarkan sungai-sungai kita.

     Sungai yang tercemar akan menyebarkan wabak dan menjangkiti hidupan air seperti ikan, siput, kerang, udang dan sebagainya. Ini secara tidak langsung akan mencemarkan alam sekitar kita. Ekosistem sungai juga akan mati. Sungai yang mati akan mengeluarkan bau yang busuk, pemandangan yang kotor, berbahaya pada kesihatan dan menyebabkan sebarang jenis tumbuhan dan haiwan tidak dapat hidup.