Hi! You're Online Now

Tips Untuk Ibu Bapa Dalam Mendidik Anak-Anak

Anak Soleh dan Anak Solehah idaman seluruh ibubapa didunia




Menjadi anak yang soleh sudah sememangnya menjadi idaman kita semua. Adakah adik-adik tergolong dalam ciri-ciri anak soleh atau solehah? Kalau nak tahu, jom kita lihat…
1.       Mentaati kedua ibu bapa
Sentiasa mentaati kedua orang tua selagi ia tidak terkeluar dari syariat Islam.
Firman ALLAH di dalam surah AL-ISRAA’ ayat yang ke 23 juzuk yang ke 15 yangbermaksud : “ Dan Rabb-mu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selainDIA ( ALLAH ) dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa mu dengansebaik-baiknya. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sampai berumurlanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali jangan kamu mengatakan kepadakeduanya perkataan “ ah “ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlahkepada mereka ucapan yang mulia “.
2.       Tingkah laku dan akhlak dipelihara
Anak soleh dan solehah sentiasa menjaga tingkah laku daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mengaibkan diri, apatah lagi melakukan perkara yang boleh mendatangkan malu kepada keluarga.
3.       Kasih sayang kepada ibu bapa
Anak soleh dan solehah perlu meletakkan kasih sayang orangtuayang paling utama daripada kasih sayang selain mereka kerana tanpamereka tidak mungkin kita dilahirkan kedunia ini.
4.       Rajin beribadat kepada Allah SWT
Sebagai anak yang taat kepada ibu bapa, adik-adik juga perlu mengabdikan diri dengan beribadat kepada Allah SWT. Lakukan segala suruhan dan tinggalkan segala larangan-Nya. InsyaAllah adik-adik akan menjadi ank yang soleh.
5.       Ikhlas dalam melakukan sesuatu
Ikhlas ini amat penting dan amat perlu ada di dalam diri manusia. Tidak perlu melakukan sesuatu perkara dengan niat untuk menunjuk-nunjuk dan seeloknya lakukannya kerana Allah SWT. Wahai ibubapa, ini antara ciri-ciri anak soleh dan anak solehah yang boleh kita terapkan dalam diri, dalam usaha menjadi anak yang soleh dan solehah. Usaha yang berterusan amat perlu untuk mencapai apa yang kita inginkan. Selain daripada berusaha menjadi anak yang soleh dan solehah, doa juga perlu sentiasa dipanjatkan kepadaNya agar segala usaha yang dilakukan tadi mendapat keredhaan dan diberkati Allah SWT. Jom kita berusaha bersama-sama gembirakan ibu dan bapa kita. Merekalah permata hati.

CARA BETUL RAWAT ANAK YANG KENA CIRIT-BIRIT & MUNTAH-MUNTAH SUPAYA TAK TERUS MELARAT

Masalah keracunan makanan kerap berlaku ke atas kanak-kanak atas faktor tahap kebersihan. Kasihan bila tengok anak kecil muntah-muntah dan cirit-birit serentak. Lembik dan tidak bermaya.
Ibu ayah mana yang boleh tahan melihat si kecil menanggung kesakitan. Selain perlu mendapatkan rawatan segera ke hospital, ibu dan ayah juga mesti tahu cara betul merawat anak yang tekena cirit-birit dan muntah supaya ia dapat dikawal dan tidak berlarutan menjadi lebih parah atau menjangkiti orang lain.



Ketika musim perayaan anak kecil antara golongan yang berisiko tinggi mendapat serangan cirit-birit dan muntah-muntah kerana risiko terdedah pada pengambilan makanan yang mungkin sudah tercemar tanpa disedari sangat tinggi.
Ia jelas terbukti daripada perkongsian Dr.Ruqqayah Muhd dalam laman facebook Medical Mythbusters Malaysia. Musim perayaan tiba lagi. Wad yang kosong menjelang Aidilfitri, kembali penuh apabila masuk hari ketiga di bulan Syawal.

Antara punca kemasukan anak-anak ke wad kebanyakannya kerana demam, jangkitan saluran pernafasan dan juga cirit birit dan muntah-muntah. "Raya ketiga, biasa dah tu" kata pakar saya. Pelbagai juadah tersaji sempena Aidilfitri. Tidak dapat dinafikan pasti ada hidangan yang telah dimasak lebih awal dan juga dipanaskan berulangkali. Sedikit sebanyak ia menjadi punca kepada keracunan makanan. Air dan ais daripada air yang tidak dimasak atau dirawat dengan baik boleh juga menjadi punca keracunan makanan dan diarea. "Kesian tengok punggung adik tu. Merah berdarah dah. Sekejap je habis dah satu plastik pampers mak dia hantar." kata staff nurse. Tiap kali membuang air, pasti meraung-raung kesakitan pesakit saya ini. Hati yang melihat juga perit dan ketat dengan duka. Jika kita yang dewasa mengalami diarea dan muntah berterusan, terasa letih dan tidak larat untuk bangun dan berfungsi seperti biasa, bayangkan anak kecil apatah lagi.

Pantau keadaan anak
* Perhatikan pengambilan air dan makanannya. Adakah masih normal seperti biasa.
* Jika masih menyusu badan, teruskan penyusuan sekerap yang mungkin.
* Sekiranya mengambil susu formula, pastikan air yang digunakan bersih dan terawat. Botol dibasuh bersih dan susu yang dibancuh tidak lebih daripada dua jam. Sekiranya susu sudah diminum dan masih berbaki dalam masa sejam, buangkan dan buat yang baru apabila anak mahu minum. Berikan minum susu sekerap yang mungkin agar anak kekal terhidrasi. Biar sedikit 1-2 oz asalkan kerap.
* Berikan air garam atau ORS bagi memastikan anak dapat menggantikan garam yang hilang daripada badan akibat muntah dan diarea. Berikan secara berkala. Seeloknya setiap kali anak muntah dan diarea.
* Perhatikan adakah anak muntah sebaik sahaja makan dan minum dan adakah muntahnya adalah partikel susu atau makanan yan dimakannya yang keluar atau bukan. Sekiranya anak muntah sebaik sahaja minum susu atau air, kemungkinan tiada yang masuk ke dalam tubuh anak. Ini boleh menyebabkan anak dehidrasi kembali.
* Selain pemberian air garam, susu berkultur seperti Yakult juga bagus kerana ia mengandungi probiotik yang membantu mempercepatkan penyembuhan. Pemberian Probiotik dalam bentuk susu formula atau serbuk juga boleh untuk membantu perawatan.
* Pemberian sup kosong atau minuman manis atau bergula juga membantu anak mendapat cecair dan juga kalori untuk tubuh. Elakkan makanan yang berminyak dan juga berempah atau pedas kerana boleh menerukkan diarea.
* Teruskan pemberian air pada anak, makanan walau dalam jumlah yang kecil tetapi kerap.
* Namun begitu, jika anak masih lemah, tidak mahu makan dan minum, masih muntah dan diarea berterusan, bawalah anak berjumpa doktor untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut. Kemungkinan anak perlu dimasukkan air bagi menggantikan garam dan air yang hilang dari tubuh,
* Pastikan kebersihan tangan selepas menguruskan muntah dan najis anak. Sabun dan gunakan 'Hand sanitizer" agar kuman tidak dipindahkan kepada orang lain.
* Uruskan lampin pakai buang anak dengan baik.
* Sterile kan botol susu dan cawan minum anak sekerap yang mungkin.

7 CARA & TIPS MENGATASI ANAK HIPERAKTIF

MENGATASI ANAK HIPERAKTIF

Apa itu ADHD?
ADHD adalah singkatan kepada Attention Deficit Hyperactivity Disorder atau dalam erti kata lain hyperactive. Selalunya ibu bapa dan guru menggambarkan kanak-kanak yang mudah teransang, lasak atau tidak dengar cakap ini sebagai hyperactive. Boleh dikatakan 1 daripada 25 kanak-kanak menghidap ADHD dan sekurang-kurangnya seorang murid di dalam sebuah kelas dikategorikan sebagai hyperactive. Anak hyperactive akan selalu bergerak dan tidak pernah puas dengan permainan mereka. Kadangkala jika diperhatikan, mereka seakan-akan mencipta permainan sendiri tetapi ia masih tidak mampu menarik perhatian mereka. Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik dan mengenalpasti ciri-ciri anak hyperactive. Malah mereka juga perlu mempelajari beberapa tips untuk memahami samada anak mereka jatuh dalam kategori benar “hyperactive” atau biasa sahaja.


Teknik menarik minat anak ADHD belajar
Sebagai ibu bapa yang memiliki anak ADHD, kita sepatutnya tidak perlu merasa tertekan atau sedih. Mungkin agak kepenatan menjaga mereka tetapi kita harus bersyukur kerana anak-anak ini adalah anugerah dari yang maha esa. Di sini kami ingin berkongsi  beberapa tips dan cara untuk menarik minat kanak-kanak hyperactive ini untuk belajar.
1. Atur suasana ruangan dengan menjaga pengcahayaan yang redup atau mainkan muzik yang tenang ketika anak hyperactive ini perlukan ketenangan.
 2. Peruntukan waktu setiap hari untuk melakukan aktiviti luar seperti olahraga, berlari, memanjat dan sebagainya. Namun sebelum itu pastikan anda mempunyai tenaga yang cukup untuk melakukan aktiviti ini bersama mereka.
3.  Cuba ringkaskan subjek matapelajaran agar mereka tidak bosan dengan pembelajaran yang panjang.
4. Jadi lebih kreatif dalam menarik minat anak untuk belajar. Contohnya gunakan lebih banyak visual atau gambar yang berwarna-warni untuk menerangkan sesuatu kepada kanak-kanak ini. Pastikan teknik pembelajaran yang diberikan penuh variasi dan berubah-ubah setiap hari.
5. Fokus pada bidang atau aktiviti yang boleh menimbulkan minat dan kesukaan pada kanak-kanak ini.
 6. Beri lebih tumpuan dan kasih sayang kerana kanak-kanak hyperactive akan lebih mendengar kata jika selalu dipeluk, bercakap lembut dengan mereka dan juga diberi lebih perhatian.
7. Jauhkan anak-anak ini dari tempat yang boleh mengganggu konsentrasi mereka seperti tingkap, gambar, mainan atau kawan yang boleh menarik perhatian mereka.
Selamat mencuba!

HENDAK SERIBU DAYA, TAK HENDAK SERIBU DALIH

Peribahasa ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’ bermaksud jika kita hendak melakukan sesuatu, kita akan menyempurnakannya dengan sedaya upaya kita dan demikian juga sebaliknya. Maksud peribahasa ini dapat dijelaskan dengan cerita yang dapat menggambarkan keinginan seseorang yang melakukan sesuatu dengan segala keupayaannya dan demikian juga sebaliknya.



Dalam sebuah kampung tinggal sepasang suami isteri iaitu Pak Cik Dasuki dan Mak Cik Timah. Mereka mempunyai dua orang anak lelaki. Anak lelaki yang sulung bernama Harris manakala yang bongsu bernama Adnin. kedua-dua orang anak mereka mempunyai sikap yang amat berbeza. Adnin merupakan seorang pelajar yang rajin berusaha dan mendengar kata kedua-dua ibu bapanya. Tidak seperti adiknya, Harris pula bersikap sebaliknya. Jika disuruh oleh ibu bapanya, ada-ada sahaja alasan yang diberikan oleh Harris untuk mengelakkan diri daripada melakukan kerja berkenaan.

Kedua-dua orang anak Pak Cik Dasuki dan Mak Cik Timah akan menduduki peperiksaan penting pada tahun ini. Harris akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, manakala adiknya pula akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah. Pak Cik Dasuki selalu menasihati kedua-dua orang anaknya agar gigih berusaha supaya berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan berkenaan.

Setiap petang sekembalinya dari sekolah, selepas makan tengah hari Adnin akan berehat sebentar sebelum membantu ibu bapanya di warung di hadapan rumah mereka. Harris pula hanya sekali sekala membantu ibu bapanya. Sekiranya disuruh, Harris akan memberikan alasan bahawa dia penat kerana baru kembali dari sekolah. Ada kalanya, dia akan memberitahu ibu bapanya bahawa dia perlu menyiapkan kerja sekolahnya. Namun hakikatnya, dia hanya ‘melepak’ di rumah atau tidur sepanjang petang.

Setiap malam, selepas makan malam, walaupun agak letih kerana membantu ibu bapanya di warung, Adnin akan mengulang kaji pelajarannya ataupun menyiapkan kerja sekolahnya. Dia tidak bertangguh untuk menyiapkan kerja rumahnya. Sekiranya tidak faham akan pelajaran yang diulang kaji, Adnin akan cuba merujuk kepada Harris. Namun Harris kerap memberikan alasan bahawa dia tidak tahu ataupun tidak ingat lagi akan pelajaran tersebut. Maka terpaksalah Adnin pergi ke rumah Cikgu Habib di sebelah rumah mereka untuk menyelesaikan masalahnya. Begitulah  yang kerap dilakukan oleh Adnin. Dia berusaha dengan pelbagai cara bagi memastikan hajatnya tercapai.

Di sekolah, Harris memiliki satu sikap yang kurang digemari oleh rakan-rakan dan gurunya. Sekiranya gagal memperoleh markah yang baik dalam sesuatu mata pelajaran, dia akan menyalahkan gurunya dengan alasan guru mata pelajaran berkenaan kurang berkesan dalam pengajarannya. Dia tidak akan menyalahkan dirinya sendiri yang kurang mengulang kaji pelajaran di rumah. Hal ini berbeza dengan adiknya Adnin yang akan mengenal pasti kelemahannya sendiri dalam mengulang kaji pelajaran sekiranya dia memperoleh markah yang rendah dalam sesuatu ujian. dengan demikian, Adnin sentiasa dapat membaiki pencapaiannya dalam pelajaran dari semasa ke semasa.

Akhirnya dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah yang diduduki oleh Adnin, dia berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang. Dia berjaya melanjutkan pelajarannya ke sebuah sekolah berasrama penuh. harris pula memperoleh keputusan yang kurang memuaskan dalam peperiksaannya. Dia juga gagal melanjutkan pelajaran ke mana-mana institusi pengajian tinggi. Dia terpaksa duduk di kampung membantu ibu bapanya berniaga di warung.

Daripada cerita itu, dapatlah kita membuat penilaian bahawa untuk mencapai keinginan kita, kita perlu berusaha dengan gigih lagi bagi mencapainya bukannya memberikan pelbagai alasan sekiranya kita mengalami kegagalan. begitulah yang dikatakan orang ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’.

KEPENTINGAN UNTUK MELUANG MASA BERSAMA ANAK-ANAK

Apabila ibu bapa bimbang mengenai kualiti perhubungan mereka dengan anak-anak, mereka perlu mempertimbangkan dua perkara. Pertama sama ada anak mahu memberitahu perasaan mereka, dan kedua, sama ada anak ingin berkongsi dengan ibu bapa.



Menyatakan perasaan hati adalah satu petunjuk penting kualiti perhubungan. Kanak-kanak biasanya tidak banyak bercakap mengenai perasaan mereka dan oleh itu, apabila mereka memberitahu seseorang mengenai perasaan mereka, itu menandakan keyakinan.

Untuk memberitahu seseorang tentang rahsia anda, terutama apa yang anda suka dan tidak suka dan perasaan yang memalukan memerlukan sifat keberanian. Apabila seseorang anak melakukannya, dia membukakan pintu emosinya. Di peringkat ini, ibu bapa perlu berhati-hati agar tidak mengeksploitasi kepercayaan ini dengan menyuruhnya membuat lebih banyak kerja rumah.

Ramai yang berpendapat bahawa perkembangan perhubungan anak-ibu bapa adalah sesuatu yang semula jadi dan dapat mengatasi ribut emosi kehidupan berkeluarga. Bagaimanapun, penyelidikan ke atas kanak-kanak menunjukkan bahawa banyak perkara yang boleh menjejaskan perhubungan antara anak dengan ibu bapa.

Konflik berterusan antara ibu bapa adalah sesuatu yang akan mengganggu mana-mana anak pun. Bila ini berlaku, anak berasa resah dan runsing. Malah ada sesetengah yang menyalahkan diri sendiri di atas pertengkaran ibu bapa mereka lalu mengunci hati dan mengasingkan diri daripada semua orang.

Kita lazimnya tidak menganggap bahawa mempunyai seseorang yang sakit di dalam keluarga boleh menimbulkan masalah, namun gangguan memang berlaku. Apabila ibu bapa meluangkan banyak masa terhadap anggota keluarga yang sakit, anak-anak berasa diabaikan. Mereka mula membuat perangai untuk mendapatkan perhatian, dan ini menjengkelkan ibu bapa, lalu mengakibatkan tindak balas kasar, dan dengan itu menjejaskan perhubungan.

Mungkin, peramal paling penting mengenai kualiti perhubungan ialah gaya pendisiplinan. Jika seseorang ibu atau bapa terlampau berkeras dengan anak, si anak mungkin berasa takut untuk berinteraksi dengan ibu atau bapa itu. Sebaliknya, jika ibu bapa tidak terlibat dengan keperluan seharian si anak, anak itu belajar untuk mengalih perhatian kepada mereka yang lebih terlibat. Tidak mengejutkan, ramai anak yang mempunyai perhubungan lebih kukuh dengan pembantu rumah, berbanding dengan ibu bapa mereka.

Apabila seseorang anak mempunyai perhubungan yang baik dengan ibu bapanya, konsensus umum ialah bahawa anak itu berasa lebih terjamin di rumah dan lebih gembira. Ini menghasilkan jati diri lebih tinggi dan kesihatan mental positif secara umumnya. Seperkara lagi, seseorang ibu atau bapa yang mempunyai hubungan lebih kukuh dengan anaknya juga berada dalam keadaan yang lebih baik untuk membimbing anak itu, dan dengan demikian masalah pendisiplinan mungkin dikurangkan.

Banyak perkara yang ibu bapa boleh lakukan untuk memperbaiki perhubungan dengan anak-anak mereka. Di sini ada beberapa cadangan:

A) Menerima anak anda seadanya

Setiap orang mempunyai keperluan untuk diterima seperti seadanya. Apabila seseorang bersikap terlalu menilai tabiat semula jadi dan keterampilan fizikal seseorang, anda merenggangkan orang itu. Begitu juga dengan kanak-kanak. Oleh itu, jika ibu bapa boleh belajar menerima kekuatan dan kekurangan anak, juga sikap suka dan tidak sukanya, anak akan berasa bahawa ibu bapa adalah orang yang boleh dibawa berbual.

B) Ketahui minat anak anda

Untuk mengenali seseorang, bererti mengetahui cita rasa orang itu. Di mana yang berkaitan dengan kanak-kanak, ia bererti mengetahui makanan kegemaran dan yang lebih penting, permainan kegemaran mereka. Bermain barangkali adalah satu aktiviti amat penting untuk semua kanak-kanak.

Apabila ibu bapa menaruh minat di dalam permainan si anak, dan cuba sedaya upaya untuk ikut serta, anak memandang ibu bapa sebagai rakan.

C) Luangkan masa untuk bermain dengan anak anda
Meluangkan masa dengan seseorang anak adalah satu perkara. Setiap ibu bapa melakukannya, dan ramai memberitahu kita bahawa ia dilakukan menerusi tuisyen dan penghantaran anak dari satu tempat ke tempat yang lain. Malangnya, perspektif yang kanak-kanak ambil adalah berbeza daripada orang dewasa. Oleh itu, masa umum yang ibu bapa luangkan dengan anak-anak mereka tidak dianggap sebagai menyeronokkan. Bagi seseorang anak, bermain adalah menyeronokkan, dan oleh itu ibu bapa perlu mencari sedikit masa setiap hari untuk bermain dengan anak-anak mereka.

D) Perhatikan dan puji anak anda mengenai perkara-perkara baik yang mereka lakukan

Manusia menjadi mesra kepada yang lain, apabila mereka mempunyai kemesraan di dalam diri. Kemesraan ini boleh diwujudkan dengan cara menyebut perkara-perkara yang baik mengenai orang lain. Ini bererti pujian dan sanjungan. Apabila ibu bapa memerhatikan anak-anak mereka melakukan perkara-perkara yang positif, dan memberi pujian yang positif, anak-anak memandang ibu bapa mereka secara yang positif. Dengan itu, mereka akan cenderung untuk berinteraksi dengan ibu bapa mereka bagi mendapatkan lebih banyak maklum balas yang positif.

E) Dengar apa yang ingin diperkatakan oleh anak anda

Apabila ibu bapa meluangkan masa dengan anak, ia juga adalah satu peluang untuk memahami anak itu. Memahami seseorang bererti menyedari perasaan mereka mengenai sesuatu perkara. Cara yang terbaik untuk melakukan ini ialah dengan mendengar apa yang anak itu kata dan rasakan. Apabila ini berlaku, anak-anak sedar bahawa ibu bapa mereka memberi perhatian kepada mereka, lalu bersedia untuk bercakap lebih banyak lagi.

Memupuk perhubungan yang positif dengan anak anda adalah penting. Ia lebih mudah dilakukan semasa mereka lebih muda, berbanding ketika mereka lebih tua. Ini membina asas yang kukuh untuk kepercayaan dan kehidupan berkeluarga yang lebih terjamin. Melalui Seminar Keibubapaan Kempen One By One anjuran Amway, ramai ibu bapa yang belajar bahawa berinteraksi dengan anak-anak mereka boleh dicapai dengan cara yang menggembirakan dan munasabah. Bagi kebanyakan mereka, ia adalah permulaan satu fasa baru dalam kehidupan berkeluarga. Bercakaplah dengan anak-anak anda. Lakukannya sekarang, dan anda pasti akan melihat kesihatan mental yang positif untuk jangka masa yang panjang.

Peribahasa

"Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat" - Kata sepakat yang diperoleh dalam sesuatu perbincangan.


BERSUSAH-SUSAH DAHULU...

Banyak masa dan tenaga yang perlu anda korbankan demi menggenggam satu kejayaan. Sebagai pelajar, apatah lagi dalam umur anda yang sedang meningkat naik, tentu sekali keseronokan dunia dan hiburan mendapat tempat utama dalam diri. Nah, disinilah mengajar anda untuk bersusah - susah dan berkorban!

      Sebaiknya anda perlu memperuntukkan masa sekurang-kurangnya 3 jam sehari untuk belajar. Selain itu anda perlu juga menyiapkan kerja sekolah, ke kelas tambahan atau ke kelas mengaji. Memang padat jadual yang perlu diisi oleh seorang pelajar seperti anda. Tetapi itulah pengorbanan untuk anda berjaya!

        Anda perlu bijak menguruskan masa anda! Bukan kami memaksa anda menghadap buku sepanjang hari tanpa henti. Sebagai anak muda yang sedang membesar, badan anda masih memerlukan rehat yang cukup. Anda masih boleh menonton televisyen dan melayan rancangan-rancangan kesukaan anda. Tetapi anda perlu sedar batasnya! Anda perlu ada kekuatan dalam diri untuk berhenti atau tidak meneruskan melakukan aktiviti kegemaran kerana anda tahu anda perlu memilih untuk belajar pula. Ya, memang bukan mudah untuk melakukan semua itu. Tetapi anda perlu mempunyai kekuatan untuk memilih.

     Bukan mudah untuk mencapai kejayaan. Seperti yang kami tekankan tadi, banyak pengorbanan perlu dilakukan. Memang benar anda keletihan sepanjang hari. Apa tidaknya separuh hari anda dihabiskan disekolah, apa lagi jika perlu menghadiri kelas tambahan atau kegiatan kokurikulum disekolah. Tetapi itu semua bukan alasan untuk anda bersikap malas! Adakah anda mahu kecemerlangan menjadi milik anda?

      Kadang-kala anda terpaksa berkorban untuk tidak mengikut keluarga anda keluar membeli-belah, atau ke    kenduri, atau pulang ke kampung. Memang sedih ditinggalkan tetapi masa yang ada itu bolehlah di isi dengan mengulangkaji pelajaran. Semua ini adalah untuk kebaikan anda. Suatu hari nanti apabila anda telah berjaya dan mencapai impian, kala itu barulah anda dapat faham segala kesusahan dan pengorbanan anda dulu telah membuahkan hasil. Samalah seperti nilai kemerdekaan yang kita sedang nikmati sekarang. Berakit-rakit kehulu, berenang- renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian!

PERASAAN INGIN TAHU

Tanda-tanda kebijaksanaan seseorang pelajar itu dapat dilihat  daripada sifat  ingin tahu yang tinggi dalam pelbagai perkara, khususnya berkaitan pelajarannya. Sifat itu jelas terzahir di kalangan pelajar ataupun individu yang berfikiran kritikal dan gemar melahirkan pelbagai pertanyaan dan persoalan tentang pelbagai perkara. Sifat ingin tahu yang mendalam menunjukkan kematangan berfikir seseorang. 



→    Seseorang pelajar yang mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi sentiasa ketagih dan dahagakan maklumat tambahan dan penerangan lebih lanjut berkaitan sesuatu perkara. 

→    Pelajar yang mempunyai sifat ingin tahu biasanya kerap mengajukan  soalan kepada gurunya  supaya mereka lebih jelas dan memahami konsep, kemahiran, formula atau teori sesuatu mata pelajaran.

→    Pelajar yang tidak minat bertanya atau mengajukan soalan  sering dilabelkan sebagai pelajar yang bersifat pasif. Mereka ini dikatakan banyak berdiam dan semasa menjalankan  proses pembelajaran bersama guru. Begitu juga selepas waktu pembelajaran. Proses pencerapan ilmu yang diterima secara bulat-bulat tanpa pemikiran kritis dalam penerimaan ilmu, membuatkan mereka enggan mengajukan sebarang bentuk soalan kepada guru ataupun rakan-rakan yang lebih mahir. Tidak berupaya menggerakkan minda bagi mewujudkan  persoalan dan pertanyaan membuatkan ilmu yang diperoleh mereka ini terhad. 

→    Berbeza daripada pelajar  yang bersikap ingin tahu, mereka terangsang mencari maklumat tambahan daripada pelbagai bahan bacaan, ataupun bahan visual. selain rajin bertanya kepada orang yang lebih arif mengenainya. 

→    Selain itu, perasaan ingin tahu yang tinggi dalam diri pelajar mampu diterjemahkan melalui keberanian dan keyakinan diri pelajar itu. Pelajar yang mempunyai semangat ingin tahu mudah terdorong dengan sifat-sifat positif seperti kreatif, rajin, tidak berasa malu untuk bertanya, tidak angkuh serta penuh komitmen.
    
→    Mereka tidak mudah berasa malu menampilkan kemahuan mereka, asalkan mereka berupaya mengatasi kelemahan itu. Pelajar seumpama ini tidak khuatir dengan ejekan ataupun diperlekehkan pelajar lain kerana mengajukan soalan yang didakwa mereka kononnya 'soalan bodoh'.
    
→    Pelajar yang mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi mampu menguasai sesuatu perkara dengan cepat dan mudah. Ini kerana sifat ingin tahu mereka mendorong kepada pencarian lebih banyak maklumat

→    Pelajar yang mempunyai perasaan ingin tahu sentiasa berada di hadapan berbanding pelajar yang tidak gemar bertanya, ataupun tiada inisiatif mendapatkan maklumat. Ini disebabkan mereka mempunyai kefahaman yang tinggi pada satu-satu perkara hasil kekuatan sifat ingin tahu mereka.

KETAHUI TENTANG SISTEM PEMBENTUNGAN DI MALAYSIA



Anda tahu apa itu pembetungan? Rata-rata, kita pasti menggambarkan proses rawatan sisa kumbahan apabila ditanya tentang sistem pembetungan. Namun apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan 'sistem pembetungan' di Malaysia?

   Sistem pembetungan ialah proses untuk mengumpul, menghantar, merawat air sisa kumbahan, dan menyelenggara sistem pembetungan dan tangki septik. Di Malaysia, perkhidmatan pembetungan terbahagi kepada dua jenis, iaitu:

(a) sistem pembetungan bersambung terus ke loji rawatan kumbahan awam

(b) tangki septik individu

Sistem pembetungan yang bersambung ke loji rawatan kumbahan awam merupakan perkhidmatan yang menyambungkan saluran paip pembetungan di rumah kita, ke loji rawatan kumbahan awam. Tahukah anda, Indah Water Konsortium (IWK) diberi tanggungjawab untuk menjalankan operasi dan penyelenggaraan loji rawatan kumbahan awam.

    IWK bertanggungjawab untuk melakukan kerja-kerja pembaikan, jika terdapat masalah pada saluran paip pembetungan awam, seperti tersumbat atau rosak tanpa mengenakan kos terhadap pengguna. Walau bagaimanapun, pemilik premis perlu bertanggungjawab untuk membaiki kerosakan atau tersumbat, jika masalah berlaku pada saluran paip pembetungan persendirian.

    Bagi tangki septik individu pula, ia merupakan perkhidmatan pembetungan yang teringkas. Sisa kumbahan akan dialirkan ke tangki septik dan tidak menjalani rawatan sepenuhnya, tetapi hanya akan terenap di dasar tangki septik. Justeru, tangki septik perlu dilakukan pengenyah enap cemar, sekurang-kurangnya dua tahun sekali, bagi memastikan tangki septik individu itu dapat berfungsi dengan cekap.

Kenapa Sistem Pembetungan Penting?
----------------------------------------------------------------------------

Sesetengah tempat di Malaysia tidak mempunyai sistem pembetungan. Oleh itu, sisa pembetung masuk atau meresap ke dalam saliran kita. Sistem pembetung yang tidak dirawat akan menyebarkan organisma yang 'patogenik' atau menyebabkan penyakit serta mencemarkan sungai-sungai kita.

     Sungai yang tercemar akan menyebarkan wabak dan menjangkiti hidupan air seperti ikan, siput, kerang, udang dan sebagainya. Ini secara tidak langsung akan mencemarkan alam sekitar kita. Ekosistem sungai juga akan mati. Sungai yang mati akan mengeluarkan bau yang busuk, pemandangan yang kotor, berbahaya pada kesihatan dan menyebabkan sebarang jenis tumbuhan dan haiwan tidak dapat hidup.

KESIHATAN DIRI

Sudah tentu anda tidak mahu jatuh sakit, bukan? Maka itu anda MESTI menjaga kesihatan diri setiap hari! Tip mudah menjaga kesihatan diri adalah: 




Banyak minum air masak atau sudah ditapis. Sekurang-kurangnya 8 kelas sehari.




Makan dan minum makanan atau minuman yang terjamin kebersihannya, iaitu tidak terdedah kepada lalat atau serangga lain.




Jangan membeli makanan dan minuman yang dijual penjaja di tepi jalan, yang kotor dan berhabuk.



Bersenam sekurang-kurangnya 20 minit sehari. Paling mudah ialah dengan berjalan cepat atau berjoging, menunggang basikal, dan bermain badminton.



Cuci tangan dengan sabun selepas ke tandas, sebelum makan dan selepas makan. Cuci mengikut teknik yang sempurna.



Jangan mengorek atau memasukkan okjek ke dalam telinga mahupun hidung.


Dapatkan rawatan doktor jika terkena sakit kulit seperti kudis, kurap dan kulat.



Tidur secukupnya dan jangan tidur lewat kerana tidur lewat menyebabkan pelbagai masalah pada tubuh.

PENTINGNYA PENGURUSAN MASA

Anda tentu pernah mendengar pepatah "Masa itu emas". Ini bermakna masa itu adalah sangat berharga. Kalau anda kekurangan wang, anda boleh meminjamnya, akan tetapi, masa yang telah berlalu, tidak dapat dipinjam. Oleh itu, sebagai pelajar cemerlang seharusnya anda bijak menggunakan masa. Seseorang pelajar yang cemerlang, tentu sekali tidak akan melakukan perkara-perkara yang merugikan dan bertangguh dalam melaksanakan sesuatu perkara. Pelajar yang cemerlang juga sayangkan masanya kerana waktu itu adalah amat berharga. 
Pengurusan masa yang sempurna adalah penting dalam kehidupan seseorang pelajar. Pelajar perlu pandai membahagi-bahagikan masa dengan bijak demi keperluan akademik dan kehidupan sosial.  Apabila tidak ada pengurusan masa yang cekap dan sempurna, pelajar akan menemui kegagalan dalam kedua-dua aspek.

Pernahkah anda terfikir, mengapa ada pelajar yang begitu sibuk dengan aktiviti sekolah masih boleh cemerlang dalam peperiksaan, sedangkan pelajar lain yang tidak begitu sibuk tidak cemerlang? Kebanyakan pelajar merungut mereka terlalu sibuk hingga tidak dapat menumpukan perhatian kepada kecemerlangan akademik. Adakah ini kerana mereka benar-benar sibuk atau kerana mereka tidak dapat uruskan masa mereka dengan baik? 

      Pengurusan masa yang sempurna bukan berdasarkan jumlah masa yang digunakan, tetapi cara masa itu diuruskan. Seseorang yang mengambil masa selama dua jam untuk menyiapkan sesuatu pekerjaan sedangkan pekerjaan itu boleh disiapkan dalam masa satu jam, menunjukkan bahawa dia tidak melakukan pengurusan masa yang betul. Sebaliknya, seseorang yang dapat menyiapkan pekerjaan yang sama dalam masa satu jam atau kurang, menunjukkan bahawa dia mempunyai pengurusan masa yang baik. 

      Satu  masalah utama yang disebut-sebut oleh pelajar ialah masalah pengurusan masa. Tidak pandai menguruskan masa adalah satu faktor utama yang menjadi penghalang pelajar menjadi cemerlang. Kesibukan menghadiri sekolah, kegiatan kokurikulum, kelas tambahan dan lain-lain menuntut pelajar mengurus waktunya dengan cekap. Kegagalan mengurus masa mengakibatkan pelajar berada dalam kesukaran dan tidak melakukan satu-satu perkara dengan sempurna. 

     Pengurusan masa juga merujuk kepada cara menguruskan masa agar anda dapat mencapai matlamat anda. Jika anda pandai mengurus dan menggunakan masa dengan baik, sudah tentu anda mempunyai lebih masa untuk membuat kerja sekolah dan mengulang kaji pelajaran. Terdapat beberapa kaedah mengurus masa agar tidak terbuang begitu saja. Misalnya:

1. Senaraikan semua aktiviti yang dijalankan dalam satu hari.
2. Susun atur aktiviti berdasarkan kepentingannya.
3. Elakkan menyenarai aktiviti yang tidak berfaedah.
4. Agihkan masa dalam sehari untuk setiap aktiviti.
5. Buat satu jadual untuk aktiviti anda dengan masa yang diperuntukkan.
6. Disiplinkan diri melakukan semua aktiviti yang telah anda tetapkan.
7. Jika berjaya dalam sehari, cuba buat jadual aktiviti dalam masa seminnggu. 


PERSEDIAAN PSIKOLOGI PELAJAR

Hari peperiksaan adalah tempoh waktu yang amat penting bagi pelajar-pelajar yang masih bersekolah atau mengikuti pengajian. Saat yang pasti dilalui oleh setiap orang daripada kita semua bukan? Di samping pembelajaran ilmiah, terdapat faktor-faktor lain yang membantu kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan tersebut. Antara faktor tersebut ialah persediaan:
a) mental
b) emosi
c) fizikal




PERSEDIAAN MENTAL

Para pelajar sering menganggap peperiksaan adalah sesuatu yang membebankan dan perlu dijauhi. Peperiksaan sering dikaitkan dengan pelbagai tanggapan negatif pelajar seperti membosankan, susah, takut gagal, tidak boleh buat, tertekan dan sebagainya. Oleh itu, persediaan mental sebelum menghadapi peperiksaan amat penting supaya peperiksaan yang dilalui berlangsung dengan lancar dan penuh yakin. Selalulah berfikir secara positif dan berpandangan jauh. Katakan dalam diri kamu bahawa dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang sahaja, kamu akan menggapai sebuah kehidupan yang bahagia pada masa hadapan.

Untuk berjaya, seseorang itu perlu berusaha kerana kejyaan tidak akan datang bergolek. Hayatilah peribahasa 'Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian' maka pasti kamu akan merasakan peperiksaaan yag dilalui bukan sesuatu yang membebankan,  tetapi jambatan menuju kebahagiaan. Justeru, belajarlah mencintai peperiksaan dan ujian bulanan yang diadakan sepanjang tahun di sekolag. Anggaplah peperiksaan tersebut dapat membantu kamu dalam menjawab peperiksaan yang sebenar kerana melalui peperiksaan sahajalah kamu dapat mengukur sejauh mana kamu mempelajari sesuatu ilmu.


PERSEDIAAN EMOSI

Persediaan emosi amat penting dalam menghadapi peperiksaan. Gagal dan lulus seseorang pelajar sedikit sebanyak dipengaruhi oleh emosi pelajar, sebelum dan semasa peperiksaan berlangsung. terdapat juga pelajar cemerlang yang tidak dapat mencapai matlamat kecemerlangan peperiksaan yang diimpikan kerana gangguan emosi. Perkara ini amat merugikan dan perlulah diatasi sebelum keadaan menjadi semakin parah.

Gangguan emosi boleh berpunca daripada keretakan rumah  tangga antara ibu dan bapa, kematian orang tersayang, pergaduhan dan sebagainya. Seandainya pelajar menghadapi masalah emosi, atasilah segera, jangan biarkan berlarutan. Jika kamu tidak dapat menyelesaikannya sendiri, maka carilah orang yang dipercayai dapat memabntu seperti kaum keluarga iaitu abang, kakak, adik, ayah atau ibu. Jika di sekolah, pelajar boleh berkongsi sebarang masalah dengan guru kaunseling. Kesediaan mereka mendengar adalah ubat yang paling mujarab walaupun ia tidak dapat mengubat penyakit emosi sepenuhnya.


PERSEDIAAN FIZIKAL

Persediaan fizikal juga perlu bagi memastikan pelajar mencapai tahap persediaan emosi dan mental bagi menghadapi peperiksaan. Persediaan fizikal adalah mempunyai tubuh badan yang sihat. Pelajar perlu mempunyai tubuh badan yang sihat ketika menghadapi peperiksaan, juga ketika berada di sekolah. tubuh badan yang tidak sihat akan mengganggu mental dan emosi pelajar, seterusnya mempengaruhi keputusan peperiksaan pelajar.

Di samping memiliki tubuh badan yang sihat, kita juga hendaklah menjaga pemakanan serta mendapat tidur yang cukup. Tidur yang cukup amat penting, lebih-lebih lagi ketika peperiksaan semakin hampir. Kurangnya tidur boleh mengganggu kesihatan fizikal, seterusnya mengganggu proses menjalani peperiksaan.

5 SIKAP UNTUK MENCAPAI KEJAYAAN

Anda ingin mencapai kecemerlangan dalam pelajaran? Sudah tentu, bukan? Tetapi, ingatlah kejayaan tidak datang bergolek. Kejayaan hanya akan diperoleh dengan usaha yang gigih dan terancang, serta keazaman yang kuat. Oleh itu, setiap pelajar hendaklah mempunyai ciri-ciri tertentu, demi mencapai kejayaan yang diidam-idamkan selama ini. Ciri-ciri itu boleh diringkaskan sebagai A, B, C, D dan E. Tahukah anda apakah maksud setiap huruf itu?



A - Attitude / Sikap 

  • Pelajar yang berjaya mempunyai sikap yang positif.
  • Rajin mengambil bahagian dalam pelajaran.
  • Bertanya apabila tidak faham dan menjawab soalan apabila ditanya oleh gurunya, sewaktu di dalam kelas. 
  • Mendengar dengan teliti ketika guru mengajar.

B - Belief / Kepercayaan 
  • Mempercayai bahawa anda ada kebolehan, kelebihan dan kekuatan tersendiri. Yakin bahawa anda boleh lulus dalam peperiksaan dengan baik.
  • Berusaha dengan gigih dan seterusnya membawa kepada kejayaan yang besar.

C - Confidence / Keyakinan 
  • Berasa selesa ketika menghadapi peperiksaan.
  • Yakin bahawa anda boleh menjawab soalan peperiksaan dengan baik.
  • Sering bertanya apabila dia tidak memahami kandungan pelajaran yang guru sampaikan, dan mengambil bahagian secara aktif di dalam kelas.

D - Determination / Keazaman 
  • Keazaman yang kuat mendorong pelajar berusaha dengan lebih gagah dan tekun.
  • Tidak cepat berputus asa, dan menganggap kegagalan sebagai satu cabaran. Dia akan terus berusaha sehingga mencapai kejayaan, memperbanyakkan membaca dan memenuhi masa lapang dengan mengulangkaji. 

E - Enthusiasm / Semangat 
  • Tidak pernah menangguhkan segala kerja sekolah.
  • Membuat ulangkaji pelajaran sejak awal lagi sebelum menghadapi peperiksaan.
  • Projek sekolah juga akan disiapkan sebelum tarikh akhir penghantaran.
  • Semangat yang tinggi akan meningkatkan kerajinan pelajar. 

CUBA 7 TIPS MUDAH UNTUK RAWAT ANAK DEMAM PANAS

Apa petua anak demam panas di rumah? mari kami kongsikan. Ingat bila saat akan kita demam panas waktu malam? Lebih-lebih lagi bila bayi demam panas. Sambil menggigil-gigil dan muntah atas katil. Menggelabah bukan? Makan pun kita tidak lalu, selagi anak tidak sembuh. Zuriat yang lahir daripada darah daging kita merupakan sebuah anugerah yang terindah dan amanah yang perlu dijaga dengan sebaik mungkin. Pengorbanan ibu bapa dalam membesarkan anak-anak adalah satu pelaburan yang akan memberi ganjaran yang cukup besar di dunia dan akhirat. Oleh hal yang demikian, ujian yang diberi oleh Allah dalam membesarkan anak-anak perlulah kita terima dengan kesabaran yang tinggi dan usaha di samping berdoa kepada-Nya.





MUDAH DIJANGKITI PENYAKIT

Proses pembesaran bayi dan kanak-kanak, mereka akan mengalami gangguan kesihatan seperti demam. Anak kecil sering dan muntah dijangkiti bakteria yang akan menyebabkan demam. Peringkat umur antara 1 tahun - 2 tahun, mudah dijangkiti kuman kerana mereka dalam proses mengenali, ingin mencuba. Jadi apa sahaja yang ada di depan mata mereka akan makan. Dalam peringkat ini juga, mereka masih menghisap jari. Apabila tangan anak basah, kekotoran mudah melekat pada tangannya. Kesannya, anak akan mudah demam kerana dijangkiti kuman. Jadi apa yang perlu ibu bapa lakukan? Mari kita lihat petua, tips anak demam dan cara yang mudah ini.


1) SUKAT SUHU BADAN ANAK 

Suhu badan yang normal ialah 36.7C. Justeru, gunakan termometer yang boleh didapati di kedai-kedai farmasi. Sebaiknya, setiap famili ada termometer ini. Sama ada, jenis letak di dahi, di mulut atau di telinga. Terpulang kepada bajet dan kemampuan. Alat ini penting dan perlu ada di rumah untuk kecemasan. Semasa anak demam, menjadi tugas anda untuk sentiasa cek suhu badan dia. Kawal suhu badan anak anda, jika terlalu panas dan melebihi 38 darjah celcius, ambil inisiatif untuk menurunkan suhu badan anak anda.


2) TUAM KEPALA DAN BADAN ANAK 

Jika suhu badan terlalu panas, ambil tuala dan rendamkan dalam air paip, kemudian tuam seluruh badan anak anda, di bahagian kepala terutamanya. Kemudian tuamnya juga di bahagian pelipat seperti ketiak, celah peha, dan celah kaki. Tuala yang dibuat tuam itu perlu di celup semula dengan air setelah digunakan. Jangan biar tuala itu di dahi terlalu lama. Jangan pakaikan baju tebal, hanya pakaikan singlet dan kain nipis untuk menutup badannya. Jika masih panas, segera mandikan dia dengan air paip, pastikan kepala dia sejuk sedikit dan tidak terlalu panas. Mudah petua anak demam ini bukan? Namun berapa ramai yang melakukannya zaman ini?


3) GUNA DAUN BUNGA RAYA

Petua anak demam dari orang tua-tua harus dipercayai dan boleh diamalkan. Jika suhu badannya masih belum turun, pagi-pagi anda petik beberapa helai daun bunga raya, basuh dan kemudian rendam selama 30 minit. Kemudian daun tersebut anda potong kecil-kecil, kemudan tapis dan ambil lendir daun tersebut. Lendir daun bunga raya boleh menurukan suhu panas badan. Celupkan tuala dalam lendir daun itu, kemudian lumurkan lendir di kepala dan seluruh badan anak anda, buat selama 20-30 minit, insya Allah demam anak akan kebah.


4) BERI ANAK MAKAN BUBUR

Pastikan perut anak tidak kosong. Jangan abaikan petua anak demam ini. Anak yang demam tiada selera makan kerana tekak mereka sakit akibat suhu badan yang terlalu panas. Jangan sampai terjadi tonsillitis. Masakkan bubur kosong dan hanya bubuh sedikit garam sahaja. Pastikan dia masih mampu makan untuk sembuh dari demam. Berikan makanan yang lembut dan tidak menyakitkan tekaknya. Jika dia tidak makan, badan anak tidak cukup tenaga untuk melawan penyakit. Aiskrim vanila juga boleh diberikan kepada si kecil jika tekaknya sakit. Atas nasihat doktor, aiskrim vanila dapat melegakan rasa panas dan sakit tekak. Boleh cuba beri anak makan sayur jika anak suka.


5) MINUM BANYAK AIR DAN SUSU

Berikan anak air masak yang secukupnya. Ramai sudah tahu petua anak demam yang ini, tetapi selalu mengabaikannya. Air masak perlu diberikan secukupnya, kerana ketika demam, suhu badan yang meningkat akan menyebabkan badannya mudah kekeringan air. Badan yang kekeringan air lebih lambat untuk sembuh dan ini akan membawa kepada masalah yang lain pula seperti ketidakseimbangan elektrolit (garam galian) di dalam badan dan kalau kekeringan air ini dibiarkan melarat, boleh menyebabkan anak mendapat sawan, kerosakan buah pinggang dan otak dan mungkin boleh menyebabkan kematian. Jika anak anda minum susu formula, berikan susu formula yang selalu dia minum. Jika anak masih menyusu badan, berilah sekerap mungkin dia susu supaya panas badannya berkurang. Susu ibu juga penawar dan antibodi melawan penyakit. Jika tekaknya sakit untuk minum, tampalkan 'kool fever' di tekaknya untuk kurangkan sakit tekak. Jus buah yang dicairkan, sup ayam atau sup daging, ais nasi, air kelapa, air barli juga boleh diberikan jika anak anda sudah besar.


6) SENTIASA BERADA DI SISI ANAK

Petua anak demam yang seterusnya ialah sentiasa berada di sisi anak apabila dia memerlukan kita. Anak yang tidak sihat, mereka memerlukan perhatian yang lebih daripada ibu bapa. Jadi, kita sebagai ibu bapa perlu sentiasa berada disisinya ketika dia tidak sihat. Tanya keperluannya, perasaan dia, berbual-bual dengannya. Bacakan buku kegemarannya. Tonton bersama cerita kesukaannya. Apa yang dia mahukan jika masih tidak keterlaluan, segerakan beri kepadanya. Sentiasa memeluk dan mencium anak dan bisik di telinganya, ibu sayang awak, sihat cepat sayang nanti kita pergi jalan, bersiar-siar, bermain. Beri semangat padanya. Pasti anak anda akan lebih cepat sembuh dari sakitnya.


7) BERDOA PADA ALLAH 

Doa juga merupakan senjata utama dalam setiap masalah yang kita hadapi. Walau sejauh mana pun kita ikhtiar, tetapi kita jika tidak memohon kepadaNya, samalah macam kita tidak percaya kekuasaanNya. Jadi, sebagai umat Islam, kita haruslah memohon pertolongan kepada Allah untuk memudahkan segala urusan kita dalam membesarkan anak-anak, berdoa agar diberi kesihatan yang baik kepada keluarga. Tambah pula dengan membuat solat-solat sunat, Insya Allah, Allah akan perkenankan doa hambaNya yang berserah dan hanya percaya kepadaNya. Allah hanya akan menguji hambaNya yang mampu menanggung ujian itu.



DOA DEMAM PANAS 



Tindakan awal dari ibu bapa dapat mengelakkan perkara yang lebih teruk berlaku. Sawan terutamanya dapat kita elakkan jika semua langkah awal telah diambil. Jangan seperti perumpaan Melayu, nasi sudah menjadi bubur, buat apa pun tak jadi. Walau bagaimanapun, semua tindakan harus disusuli dengan doa supaya lebih berkat dan segala urusan kita dapat dipermudahkan. Semua ibu bapa ingin melihat anak-anak sihat dan sentiasa gembira. Sama-sama kita mendoakan kesejahteraan mereka. Seperkara lagi, jangan ambil ringan jika anak demam. Paling penting,jangan panik. Jika tidak tahu mahu buat apa, terus bawa berjumpa doktor. Jika berlaku pada waktu malam, terus bawa ke hospital. 

3 CARA MENGGALAKKAN ANAK TIDUR AWAL

Tahukah anda, anak membesar ketika sedang tidur? Keperluan tidur anak kecil tidak sama dengan orang dewasa. Anak kecil berusia 6-11 tahun perlu mendapat tidur malam purata 9-11 jam. Contohnya dari jam 8/9 malam sehingga 6/7 pagi. Secara ringkas, semakin meningkat usia seorang anak, lebih berkurang waktu tidur yang diperlukan oleh badannya.

Untuk menggalakkan anak tidur malam yang sempurna, gunakan beberapa teknik. Di antaranya, anak yang sudah masuk sekolah tidak perlu tidur di siang hari. Ini supaya jam 8 malam atau 9 paling lewat (selepas solat isya') mereka mesti tidur. Tidur seawal ini juga memudahkan anak-anak bangun solat Subuh seterusnya ke sekolah.







Berikut turut disenaraikan cara-cara yang boleh menggalakkan anak tidur lebih awal dan nyenyak. 


1) Suasana bilik tidur yang menenangkan, dinding kosong, perabot minima, tiada mainan atau objek yang boleh merangsang simulasi, langsir yang kosong dan lampu yang malap atau tiada lampu.

2) Mengamalkan rutin yang sama setiap hari, membaca buku, urutan, menarik nafas atau doa.

3) Jika kebiasaannya tidur lewat, boleh injakkan masa 15 minit lebih awal setiap hari. Tidur nyenyak mencukupi adalah amat penting pada anak usia di bawah 16 tahun, justeru tidak boleh diambil mudah.

Walau bagaimanapun, setiap anak adalah berbeza dan setiap langkah yang dibuat berbeza penerimaannya dan kesan di antara setiap anak dan yang lain.