Hi! You're Online Now

5 PERKARA PENTING IBUBAPA PATUT AJAR SEBELUM ANAK MEMBESAR

MENDIDIK ANAK DENGAN PERKARA YANG BETUL 

Tahun-tahun awal usia kanak-kanak amat penting buat mereka. Ini kerana apa yang ditetapkan dalam diri mereka akan membentuk siapa mereka pada masa akan datang. Disebabkan itulah, peranan ibu bapa sangat penting dalam mendidik anak.





1) KEJUJURAN

  • Anda perlu mendidik anak untuk tahu tentang kejujuran. Bukan mudah untuk membuatkan seorang kanak-kanak faham apa itu jujur. Jadi, cara yang terbaik adalah dengan menunjukkan contoh. Sama ada dari segi perbuatan mahupun percakapan, elakkan menipu pada mereka atau di hadapan mereka, kerana mereka akan mencontohi perbuatan anda. Amat penting untuk tidak memanggil anak anda penipu. Sebaliknya, jika mereka tidak jujur, terangkan mengapa perbuatan tersebut salah. Kemudian ajar mereka cara berkomunikasi dengan betul. 
2) TANGGUNGJAWAB 
  • Ibu bapa perlu mendidik anak tentang erti tanggungjawab. Sama ada bertanggungjawab menjaga barangan milik mereka atau tanggungjawab terhadap perbuatan mereka. Jangan menghukum tapi ajar mereka yang setiap perbuatan mempunyai akibat. Jika mereka menyakiti orang lain, ajar mereka untuk meminta maaf. Jangan marah mereka hingga membuatkan mereka rasa nak mengamuk. Begitu juga dengan tanggungjawab terhadap barang milik mereka, ajar mereka untuk menjaga barang mereka kerana itu adalah tanggungjawab mereka. 
3) HORMAT 
  • Hormat pada mereka yang lebih dewasa. Tiada apa yang lebih teruk dari berdepan dengan orang yang tiada rasa hormat. Jadi, tentulah kita mahu anak kita ada rasa hormat terhadap orang lain. Ajar mereka untuk berterima kasih, menggunakan perkataan tolong dan menyalam orang yang lebih dewasa. Ini semua kelihatan kecil, tetapi sebenarnya memberi impak yang besar. Mereka akan jadi 'terbiasa' menghormati orang. 
4) BERSYUKUR
  • Antara cara untuk mengajar erti bersyukur adalah mereka harus berbuat sesuatu untuk mendapatkan sesuatu. Mereka akan lebih menghargai sesuatu yang susah untuk diperolehi. Dan ajarkan mereka untuk mengemas rumah, agar mereka tahu bagaimana penatnya mengemas rumah, lalu mereka akan belajar untuk lebih menghargai usaha anda mengemas rumah. 
5) KASIH SAYANG 
  • Ibu bapa harus mendidik anak untuk mengasihi adik beradik dan ahli keluarga. Terdapat pelbagai cara untuk menunjukkan rasa sayang selain dari mengucapkan perkataan 'i love you' kepada mereka. Tapi, ia bukan bermakna mengucapkan 'i love you' itu tidak penting. Walaubagaimanapun, ibu bapa boleh mendidik anak untuk berbuat baik dengan ahli keluarga juga adalah tanda menunjukkan rasa sayang. Anak-anak adalah cermin ibu bapa. Apa yang ditunjukkan ibu bapa, itu yang mereka akan ikut. Jadi, tunjukkan contoh yang baik, kualiti yang anda inginkan pada anak anda.