Hi! You're Online Now

5 TIPS SUPAYA ANAK CEPAT MEMBACA

Artikel kali ini adalah berkenaan 5 tips supaya anak cepat pandai membaca. Sekiranya anda menyedari anak anda lambat membaca berbanding rakan sebaya, jangan diabaikan sahaja mereka. Ini kerana, semakin meningkat usia anak-anak itu,  semakin sukar untuk mereka belajar membaca. Oleh itu, pendidikan awal adalah sangat penting bagi mereka. Semoga tips ini bermanfaat pada ibu bapa diluar sana, InshaAllah.

1- PERUNTUKKAN MASA TETAP SETIAP HARI UNTUK MEMBACA PADA ANAK  
Membaca buku pada anak-anak setiap hari boleh meningkat pemahaman anak dan membolehkan anak menangkap kosa kata atau beberapa perkataan yang rumit. Selain itu, dengan membacakan buku pada anak-anak, ia boleh mencetus sifat kreativiti dan minat mereka untuk membaca.

>> Tidak kira sama ada anak anda masih belum bersekolah atau sudah meningkat remaja, cara ini boleh meningkatkan keinginan anak untuk membaca dengan sendiri. Kita sering melihat orang barat gemar membacakan buku cerita fantasiatau cerita kanak-kanak pada anak mereka seblum tidur. Bagi kita pula, sebelum anak-anak tidur, kita bacakan ayat Al-Quran yang mudah atau doa tidur, dituruti dengan membacakan kisah Nabi dan Rasul pada mereka. Disamping boleh menggalakkan mereka pandai membaca, kita juga mengajar mereka kisah teladan dan sejarah Nabi.

2- BESARKAN ANAK DALAM PERSEKITARAN YANG PENUH DENGAN BAHAN BACAAN
Kanak-kanak yang dibesarkan di rumah yang mempunyai sumber bahan bacaan yang banyak didapati lebih cemerlang dalam pelajaran. Galakkan anak anda membaca dengan melengkapkan rumah anda dengan pelbagai jenis bahan bacaan seperti majalah, komik dan buku. Lebih elok sekiranya wujudkan perpustakaan kecil di rumah atau letakkan bahan bacaan di sekeliling anak anda seperti dalam bilik tidur, ruang tamu ataupun dalam kereta.

3- ADAKAN WAKTU MEMBACA KELUARGA
Wujudkan waktu membaca keluarga yang tetap. Sebagai contoh, setiap Jumaat malam, anda sekeluarga menetapkan satu jam dimana semua orang membaca bersama-sama dalam keadaan senyap. Hanya 15 minit setiap hari pun memadai bagi meningkatkan tahap kelajuan pembacaan anak anda.

4- GALAKKAN PELBAGAI AKTIVITI MEMBACA YANG MENARIK
Jadikan membaca itu sebahagian daripada hidup anak anda. Galakkan mereka membaca meu makanan di restoran, papan tanda atau iklan di tepi jalan, tajuk rancangan kegemaran mereka atau apa sahaja informasi yang praktikal. Anda juga boleh memberikan apa sahaja bentuk bahan bacaan diwaktu lapang mereka sementara menunggu temujanji doktor gigi atau dalam perjalanan menaiki keretapi. Pelbagaikan bahan atau sumber yang boleh membantu mereka cepat belajar flashcard, permainan atau ipad apps yang sesuai. Dengan cara ini, anak anda akan lebih teruja untuk belajar membaca sekaligus menarik minat mereka. 

5- RAIKAN SETIAP KEJAYAAN DAN USAHA
Paling penting, raikan setiap kejayaan dan usaha anak anda untuk setiap satu kejayaan. Jangan hanya bergantung pada kad kemajuan sekolah anak anda untuk mengetahui tahap kemajuan mereka dalam pelajaran.

> Raikan apabila anak anda berjaya menyebut satu perkataan yang sukar dengan betul.
> Raikan apabila beliau sudah semakin membaca dengan lancar.
> Raikan apabila mereka memperbetulkan sebutan bacaan sendiri.
> Raikan apabila mereka menghabiskan banyak buku untuk dibaca.
> Raikan setiap satu kejayaan darinya. 

Memujilah kejayaan mereka walaupun sedikit. Bukan memuji untuk menggalakkan sikap riak dalam diri mereka, tetapi memuji untuk menghargai setiap usaha yang mereka lakukan. Kerana hakikatnya, dalam apa jua mereka lakukan, Allah memberi pahala pada hamba-Nya berdasarkan usaha, bukan pada hasil semata-mata. Hanya manusia yang mengharapkan hasil yang baik. Sedangkan, kita hidup kerana Allah, bukan hidup untuk memenuhi apa yang diharapkan manusia.