Hi! You're Online Now

7 LANGKAH MENJADI PELAJAR HEBAT MATEMATIK SPM

Ingin menjadi calon pelajar terhebat dalam subjek matematik SPM? tapi tidak tahu bagaimana ingin menjadi calon-calon hebat di sekolah anda? Mari kami kongsikan tips untuk anda.






1- Ketika guru mengajar di kelas, berilah sepenuh perhatian kepada apa yang guru ajarkan. Pastikan anda memahami segala-gala yang diajar oleh guru anda. Jika anda tidak faham sebarang topik, bertanyalah terus kepada guru atau kawan-kawan dengan serta-merta (ketika kelas berlangsung) atau pada hari yang sama apabila keadaan mengizinkan. Sikap suka bertangguh-tangguh untuk bertanya apabila tidak faham adalah punca utama kenapa pelajar semakin sukar mengikuti subjek tersebut, dan seterusnya menyebabkan kehilangan minat untuk menguasainya.

2- Setiap pelajar memerlukan beberapa buah buku rujukan kerana buku teks semata-mata adalah tidak mencukupi. Saya mencadangkan pelajar menggunakan buku rujukan SPM Matematik, Matematik Tambahan 'Success' oleh Oxford Fajar dan Analisis Matemati/Matematik Tambahan oleh Pelangi. Kedua-dua penerbit buku ini adalah yang terbaik di pasaran.

3- Apabila mengulangkaji sesuatu bab, baru buat pertama kalinya, pelajar hendaklah membaca nota-nota di dalam buku rujukan dahulu. Pastikan pelajar memahami konsep bab itu dan cuba menghubungkan dengan apa yang telah diajar oleh guru di sekolah.

4- Pelajar perlu tahu bagaimana untuk menggunakan apa yang telah dipelajari untuk menyelesaikan soalan-soalan latihan. Perhati semua soalan contoh di dalam buku rujukan. Pastikan bahawa anda faham bagaimana setiap soalan ini diselesaikan, langkah demi langkah. Jika tidak faham, segerelah bertanyakan kepada guru, rakan-rakan atau dapatkan bantuan melalui internet (youtube/forum/facebook group dll)

5- Kemudian, pelajar perlu melakukan banyak latihan. Belilah buku-buku latihan tambahan jika perlu. Anda boleh bermula dengan membuat soalan-soalan topikal (topik demi topik). Apabila anda telah memahami semua topik, teruskan dengan melakukan kertas ujian model SPM, soalan percubaan tahun-tahun lepas dan paling penting, soalan SPM beberapa tahun ke belakang. Semua set soalan di atas seharusnya boleh diperoleh di kedai-kedai buku berdekatan. Selepas melakukan latihan ini, rujuklah kepada jawapan yang diberikan, termasuk dengan pembahagian markah yang sewajarnya. Buku Analisis Pelangi sangat membantu kerana buku tersebut dibekalkan dengan 'worked solution' yang lengkap di dalam CD-ROM bersama-sama buku tersebut.

6- Apabila melakukan ulangkaji sebelum menduduki peperiksaan, anda sekali lagi perlu melihat sepintas lalu soalan-soalan contoh bagi semua bab dalam buku rujukan. Jika anda terlupa konsep mana-mana topik, ulangkaji dan teliti balik nota di dalam buku rujukan untuk bab itu.

7- Kertas Matematik SPM juga akan menguji beberapa topik daripada tingkatan 1 hingga tingkatan 3, selain daripada topik tingkatan 4 dan tingkatan 5. Jadi pastikan anda jangan lupa topik tersebut. Buku rujukan Matematik SPM 'Success' oleh Oxford Fajar mengandungi beberapa contoh soalan untuk tingkatan 1 hingga tingkatan 3, jadi anda juga perlu meneliti dan mengulangkaji topik-topik tersebut jika telah lupa.


7 langkah di atas adalah tips untuk menjadi pelajar cemerlang dalam sesuatu subjek terutama Matematik/Matematik Tambahan. Jika seseorang pelajar mengikut sepenuhnya panduan di atas, Insha Allah, A hatta A+ adalah di dalam genggaman. Usaha, doa dan tawakal adalah jalannya.



Sebarang pertanyaan mengenai kami boleh hubungi kami di whatsapp
ANKABOOT ACADEMY 2018